Kunci kejayaan Untuk Diterima Bekerja Di Sabasun Hyperuncit ‘Solat Lima Waktu’ -CEO
Tidak meninggalkan solat wajib lima waktu, merupakan syarat utama untuk bekerja di Syarikat Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabasun Hyperuncit, Che Salmi Ibrahim berkata, kriteria tersebut merupakan asas bagi membentuk jati diri dan kemajuan pekerja itu sendiri.
“Staf Sabasun yang kesemuanya berjumlah 500 orang adalah bumiputera.
“Antara syarat utama dikemukakan masa temu duga adalah tidak meninggalkan solat lima waktu. Itu syarat utama.
“Selain itu, kita juga sentiasa adakan program kerja dalam kumpulan untuk menanam kepercayaan dalam satu pasukan, yang mempunyai satu fikiran dan satu hati sekali gus dapat memacukan lagi perniagaan Sabasun,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya penekanan solat dalam kalangan pekerja secara tidak langsung dapat melahirkan pekerja yang jujur dan amanah.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Che Salmi berkata, syarikat itu bakal membuka perniagaan di luar Terengganu.
“Buat masa ini kami hanya beroperasi di Terengganu. Insya-ALLAH Mac tahun depan kami akan berkembang di Kuala Lumpur iaitu di Kampung Baru,” katanya.
‘Pasaraya ini mula beroperasi pada 2 April 1995, dimana usia Sabasun sekarang menjangkau lebih dari 25 tahun dan pada waktu itu, bermula dengan tiga orang pekerja dengan dibantu oleh ahli keluarga yang lain dan perkataan Sabasun Hyperuncit bermakna sabasun tu akronim daripada dua perkataan iaitu sabar dan bersungguh-sungguh, manakala hyperruncit pula merupakan satu konsep yang berpaksikan pada glocal iaitu ‘’global technology local application’.
“Secara amnya, Sabasun masih lagi mengekalkan 100 peratus tenaga kerja yang terdiri dari anak tempatan, menjadikannya satu-satunya Peruncit berskala besar yang tidak menggunakan tenaga pekerja asing dan memakai resepi utama iaitu ‘ Pelanggan Adalah Majikan’.”
“Sebenarnya, di sini kami tidak ada gelaran khusus untuk apa-apa jawatan, kita hanya menggunakan gelaran ‘abang dan kakak’ malah semua kakitangan dan semua pembekal-pembekal panggil saya ‘abang long’ sebab nak kurangkan barrier, tembok, pemisah antara pekerja dengan kita,” ujarnya.
Bapa kepada tujuh orang anak yang juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana daripada California State Universiti dalam bidang Psycho Linguistik itu berkata, pasaraya Sabasun membuka peluang pekerjaan kepada hampir 500 penduduk setempat, 350 orang usahawan muslim tempatan dengan 2200 produk industri kecil sederhana (IKS) dan mempunyai pilihan hampir 30,000 barangan yang menjana pendapatan lebih RM2.5 juta sebulan.
“Di luar Terengganu, boleh dikatakan pesaing-pesaing majoritinya terdiri daripada yang bukan Islam dan di situlah kami nampak ada ruang dan peluang kerana apabila Sabasun dapat menawarkan produk-produk halal dan toiyiba yang belum pernah ditekankan oleh mana-mana supermarket bukan Islam sebelum ini dan Alhamdulillah insyaAllah pengguna Islam akan dapat membuat pembelian yang lebih meyakinkan,” katanya.
Leave a Reply