Polis nafi kes culik depan sekolah, rupanya rebut hak jagaan anak
Polis mengesahkan kejadian seorang murid perempuan yang dilarikan di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas bukan kes culik, susulan tular video di media sosial sejak Khamis.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu membabitkan perebutan hak penjagaan anak antara seorang wanita (nenek) dan bekas menantu (perempuan).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, wanita tersebut menyatakan cucunya dilarikan bekas menantu dengan menaiki sebuah kereta.
“Dalam kejadian itu, pengadu yang mengalami kecederaan kemudiannya datang ke balai polis membuat laporan untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak ibu dan bapa kanak-kanak itu berpisah pada 2013.
“Proses tuntutan hak penjagaan masih lagi dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Radzi berkata, ibu kanak-kanak berusia sembilan tahun itu juga telah membuat laporan polis selain menyatakan mangsa kini selamat di bawah jagaannya.
“Ibu mangsa menyerahkan perkara ini kepada pihak peguam serta polis bagi menjalankan siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi tidak benar yang kini video kejadian tular sehingga mencetuskan kegusaran awam,” ujarnya.
Terdahulu, seorang pengguna laman Facebook bernama Aliff Aliff Aziz memuat naik dua rakaman video dpercayai berhubung kejadian terbabit.
Video pertama memaparkan seorang wanita berlari sehingga tersembam di atas jalan sewaktu sedang cuba mendapatkan semula cucunya.
Manakala video kedua pula memperlihatkan suami wanita itu turut pergi ke arah kereta bekas menantu bagi menghalang tindakan membawa lari kanak-kanak tersebut.
Sumber: Sinar Harian (Mohd Iskandar Othman) , Facebook Aliff Aliff Aziz
Leave a Reply