Naim AF6 tak malu jadi badut, yang penting sumber rezeki halal
Bekas peserta rogram realiti Akademi Fantasia musim keenam, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Shauqi Naaim Salmi mendedahkan dia tidak pernah berasa malu sama sekali memilih kerjaya sebagai ‘badut’ bagi sesuatu majlis keramaian.
Menurut laporan Astro Awani, baginya apa yang paling penting adalah sumber rezeki tersebut adalah halal dan dia mempunyai minat yang mendalam untuk menghiburkan orang ramai walaupun sudah mempunyai kerjaya yang tetap.
Kalau dulu saya dilatih untuk hiburkan peminat di pentas nyanyian, kini saya beralih fokus hiburkan kanak-kanak pula. Kalau ditanya tak segan ke jadi badut, kenapa nak malu? Saya mencari rezeki halal untuk isteri dan anak-anak.
“Tahun ini masuk tahun kedua saya mengambil tempahan sebagai badut di acara yang melibatkan ramai orang termasuk golongan kenamaan, orang dewasa dan kanak-kanak. Jujur saya katakan walaupun berpanas dalam kostum, solekan tebal dan perlukan pakai wig, semuanya berbaloi bila melihat orang ramai seronok,” katanya.
Jelasnya lagi, dia mengakui bukan mudah untuk menjadi penghibur dalam jiwa kanak-kanak dan banyak mempelajari teknik untuk menjadi badut di laman YouTube.
Bukan itu sahaja, dia meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada isterinya, Nor Aida Nazira Mahamad Pauzzi banyak memberi sokongan dan menjadi tulang belakangnya untuk mencari sumber rezeki yang halal.
“Nak hiburkan kanak-kanak perlu ada seni juga. Bukan sahaja jadi penyanyi perlu tahu tahu skill. Nak buat orang ketawa lagi susah dari buat orang sedih.
“Jadi saya banyak belajar dari internet. Alhamdulillah isteri banyak beri sokongan malah idea untuk menyediakan perkhidmatan sebagai badut juga datang dari isteri, Nor Aida Nazira Mahamad Pauzzi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Naim turut berkesempatan dalam memberikan nasihat kepada golongan muda supaya sentiasa berfikir di luar kotak dan jangan malu untuk mencuba sesuatu yang baharu asalkan ia adalah sumber yang halal.
Sumber: Astro Awani (Faida Rahim)
Leave a Reply