Jadikan anak istimewa sebagai bahan jenaka, Ahmad Idham tegur kumpulan UBI?
Pelakon dan pengarah terkenal, Ahmad Idham meluahkan pendapatnya ekoran jenaka kumpulan lawak, UBI yang didakwa memperlekehkan anak istimewa ketika persembahan pentas akhir, Muzikal Lawak Superstar 3 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Idham di laman Instagramnya, dia kelihatan kecewa dengan tindakan kumpulan berkenaan yang dipercayai meniru watak influencer, Yoe Parey yang didiagnos mempunyai masalah pembelajaran.
View this post on Instagram
“Baru-baru ini tular di media sosial sebuah rancangan komedi menampilkan satu kumpulan melakonkan watak seorang anak istimewa, Yoe Parey yang telah didiagnos masalah pembelajaran.
“Saya melihat budaya menjadikan watak anak istimewa sebagai bahan lawak sudah dinormalisasi dalam kalangan masyarakat kita.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menegur sebagai tanda kasih dan sayang saya kepada adik-adik di dalam industri hiburan,” coretnya.
Tambah pengarah yang berusia 48 tahun itu lagi, dia dapat merasakan perkara tersebut tidak wajar dijadikan sebagai bahan jenaka yang akan mengguriskan hati ibu bapa yang mempunyai anak syurga.
Bukan itu sahaja, dia mendedahkan keluhan itu dimaklumkan sendiri oleh ibu bapa kepadanya ketika mengikuti program dan jelajah dibawah Hab Pendidikan Khas.
“Jauh disudut hati ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa terbuku sedikit rasa kecewa apabila kekurangan anak-anak istimewa dijadikan bahan lawak untuk mentertawakan orang.
“Saya mendapat keluhan ini secara terus daripada ibu bapa ketika mengadakan program dan jelajah dibawah Hab Pendidikan Khas saya.
Ujarnya, dia berharap perkara tersebut tidak berlaku pada masa akan datang kerana ia mampu mempengaruhi pemikiran anak-anak muda untuk melakukan perkara yang sama.
“Harapan saya agar kita tidak terus membudayakan perkara-perkara sebegini kerana ianya akan mempengaruhi anak-anak muda untuk turut sama melakukan perkara yang sama,” katanya lagi.
Untuk info, Ahmad Idham adalah seorang yang memperjuangkan hak anak-anak istimewa dan mempunyai sebuah Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus bersempena anak sulungnya yang merupakan anak istimewa.
Sumber: Instagram ahmad_idham
Leave a Reply