Daftar UM seorang diri, pemuda sanggup tunggang motor Kriss dari Putrajaya ke KL!
Baru-baru ini, tular di laman sosial seorang pemuda sanggup menunggang motorsikal Kriss semata-mata untuk mendaftarkan dirinya ke Universiti Malaya telah berjaya meraih perhatian netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh @Universiti Malaya di laman Facebooknya, pemuda yang dikenali sebagai Lau Lai Kiat itu berasal dari Johor Darul Takzim merupakan seorang mahasiswa dalam bidang Pengurusan Sukan.
Difahamkan, Lau Lai Kiat hadir ke universiti awam itu secara seorang diri dengan menaiki motorsikal dari Putrajaya ke Universiti Malaya tanpa kehadiran keluarganya.
“Ya, saya datang mendaftar hari ini berseorangan dengan menaiki motosikal dari Putrajaya. Selepas SPM, saya menyambung pengajian di peringkat diploma di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.
“Motosikal ini memang saya letak di kawasan parkir Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan saya gunakan setiap kali ‘turun’ Kuala Lumpur. Untuk pendaftaran hari ini, saya bermalam di rumah rakan saya di Putrajaya setelah mengambil motosikal saya di TBS,” kongsinya.
Dia yang merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik merupakan ahli keluarga yang pertama berjaya menjejakkan kaki ke alam universiti dan bertekad mahu membalas jasa insan tersayang kelak.
Ujarnya, sudah tiba masanya giliran dia pula yang berbakti kepada keluarganya memandangkan selama ini bapanya sudah bertungkus lumus dalam membesarkannya untuk menjadi seorang insan yang berjaya.
“Saya bercita-cita untuk menceburi bidang perniagaan setelah tamat pengajian nanti. Ayah saya yang hanya bekerja sebagai buruh telah bertungkus lumus membesarkan kami adik-beradik, dan sudah tiba masanya saya cuba membalas jasanya,” katanya lagi.
Bagusnya dia! Semoga dipermudahan urusan!
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dan berbangga dengan hasrat yang disimpan oleh Lau Lai Kiat dan mendoakan agar urusannya sentiasa dipermudahkan.
Penuh dengan inspirasi!
Bukan itu sahaja, ramai yang menjadikan kisah pemuda itu sebagai inspirasi untuk berjaya meskipun perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan.
Sumber: Facebook Universiti Malaya
Leave a Reply