Seorang Ibu Tabah Membesarkan Anak 16 Orang Sendirian, Semuanya Berjaya Ke Universiti Harus Dijadikan Contoh
Setiap ibu bapa pasti menginginkan kebahagian untuk anak-anak walau dengan apa cara sekalipun. Mereka sanggup berkorban masa, wang dan penat lelah untuk memberi kesempurnaan hidup buat anak mereka.
Seperti perkongsian kali ini, seorang wanita hebat berjaya mendidik 16 orang anak dengan hanya berbekalkan RM150 ihsan dari pihak masjid. Sungguh inspirasi!
Pihak masjid bagi RM150 sebulan
Saya ada 16 adik beradik seibu sebapa. 1 hingga 11 semua lelaki. 12 hingga 16 semua perempuan. Ada orang rasa stress dan sedih bila beranak 5 orang sederet lelaki. Mak saya rilek je dapat 11 anak semua lelaki.
Alhamdulillah walaupun hidup sangat susah, kesemua 16 beradik berjaya sambung pelajaran ke universiti. Pada tahun 1991, masa mak mengandung anak ke-16 ayah diserang stroke dan lumpuh. Hilang sumber pendapatan. Tiada simpanan sebab hidup cukup-cukup makan je. Pihak masjid bagi wang ehsan setiap bulan hanya rm150.
Mak besarkan kami 16 beradik dan dalam masa yg sama uruskan ayah yg lumpuh dengan hanya 150 ringgit sebulan. Macam mana boleh survive? Ni semua urusan Allah..semua rezeki dari Allah. Allah bagi “rezeki” kepada anak-anak dalam bentuk kesedaran untuk berdikari. Walaupun masih sekolah rendah kami dah mula cari duit sendiri. Jadi buruh sementara, kutip botol dan tin aluminium untuk dijual, bercucuk tanam dan lain-lain.
Makan nasi campur gula dan garam
Pada tahun 2001, ketika tingkatan 4, saya masih kutip kayu api untuk masak. Ada berlaku kecederaan ketika sedang memotong kayu, parang terkena kat tangan. Ada kesan parut di tangan kiri. Makanan kami juga tidak semewah orang lain. Makan nasi tanpa lauk sudah jadi kebiasaan.
Sekadar nasi campur air, garam dan sedikit gula sudah memadai. Mujur di sekolah ada Rancangan Makanan Tambahan RMT, dapatlah kami rasa makan yang sedap secara berterusan. Walau keadaan hidup begitu susah, tidak pernah sekalipun mak berhenti berjuang mahupun mengaku kalah dalam membesarkan anak-anaknya.
Mak juga tidak berkeluh-kesah di hadapan anak-anak, biarpun beberapa kali saya melihat mak menangis mungkin kerana terlalu berat menanggung keperitan hidup.Kami anak-anak yang masih kecil ketika itu hanya boleh menahan sedih melihat keadaan emak.
Kutip kayu api untuk memasak
Ketika itu memang tidak banyak yang boleh kami bantu, malah untuk angkat ayah yang lumpuh untuk dimandikan pun susah. Saya banyak kali menangis sebab melihat ayah yang makin lemah dan kudis di badannya makin besar disebabkan terlalu lama baring..sangat meruntun jiwa.
Nasib baik abang-abang di sekolah menengah banyak tolong dengan penuh kesabaran tetapi apabila mereka masuk universiti, tinggal kami yang kecil-kecil sahaja di rumah. Sehingga tahun 2001, kami masih memasak menggunakan dapur kayu api. Bukan tidak ada dapur gas tetapi mahu menjimatkan wang daripada membeli gas. Kalau bekalan kayu api berkurang, kami adik beradik akan masuk hutan mencari kayu api. Ketika itu tiada lagi orang kampung yang mengutip kayu api, hanya keluarga kami sahaja.
Sentiasa solat jemaah
Mak pula pegang prinsip tidak akan hutang duit orang. Hidup dengan sekadar apa yang ada. Alhamdulillah, beban emak sedikit ringan apabila abang-abang di universiti mengirim duit biasiswa masing-masing untuk adik-adik di kampung. Pernah abang saya cerita, dia sanggup ikat perut semata-mata untuk hantar duit ke kampung.
Sepanjang ingatan saya, semasa ayah masih hidup dan sihat, dia tidak pernah bertanya tentang pencapaian pelajaran anak-anak, tapi ayah selalu tanya tentang solat di masjid atau tak. Arwah ayah selalu pesan, “tidak guna belajar tinggi dan pangkat tinggi tapi solat jemaah tidak dijaga”. Arwah ayah memang sangat menekankan amalan agama.
16 orang adik beradik berjaya masuk universiti
Walaupun kami masa masih bersekolah dan sangat sibuk dengan mencari duit tapi kami tetap ke masjid solat jemaah. Kami cuma dapat belajar ketika di sekolah sahaja kerana di rumah kami sibuk dengan kerja dan mengasuh adik-adik yang masih bayi. Namun, syukur semuanya kini cemerlang dalam pelajaran. Alhamdulillah 1 hingga 16 berjaya semua masuk universiti.
Pesanan untuk ibubapa, bagi mendapat keluarga yang bahagia di dunia dan akhirat berilah penekanan pada pendidikan agama terutamanya solat. Anak-anak lelaki mesti dibiasakan dengan solat jemaah. Sekarang bila tengok orang yg kutip tin dan botol di tepi jalan saya teringat keadaan saya dulu-dulu. Walaupun saya dah hidup senang dan alhamdulillah bisnes saya maju tapi saya tak lupa asal usul saya.
Sumber : Mohd Yazid Ismail
cara mohon tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya.
Terima Kasih Selamat Beramal.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Cara Mohon.
Leave a Reply