Amat merisaukan! Lebih 15 ribu graduan kerja tidak sepadan, gaji bawah RM2,000

Isu mengenai ketidakpadanan sektor pekerjaan yang terpaksa dilalui oleh para graduan bukanlah perkara baharu kerana ia telah berlaku sekian lamanya.

Lebih 15 ribu graduan kerja tak sepadan

Menurut rekod MyFutureJobs, sehingga kini direkodkan seramai 15,460 daripada mereka menerima pekerjaan tidak sepadan dengan bidang dikehendaki.

Malahan, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar ketika ditemui dalam sidang akhbar hari Program Eksplorasi Karier (CEP) Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, Kuala Langat, Selangor berkata, mereka ini juga turut bekerja dalam pekerjaan separa mahir serta memiliki pendapatan bulanan kurang RM2,000.

“Jika dilihat kepada jumlah statistik penempatan MYFutureJobs sehingga 14 Julai 2023, jumlah graduan yang mengalami ketidakpadan dalam pekerjaan separa mahir dan rendah serta bergaji RM2,000 ke bawah adalah seramai 15,460 orang atau 42 peratus,”ujarnya.

Perkenal Program Career Exploration, tangani masalah

Isu tersebut sedikit sebanyak menghalang Pelan Strategik Kementerian Sumber Manusia 2020-2025 daripada dicapai sekiranya ia tidak dibendung.

Oleh itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Pintar dengan kerjasama Kementerian Pendidikan yang melibatkan permulaan sebanyak 11 buah SMK di sekitar lembah Klang dan Pahang dipilih dan terlibat bagi Program Eksplorasi Karier (CEP).

Sivakumar berkata, program jelajah tersebut dirangka khusus untuk menangani isu ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan yang sering kali berlaku.

“Ketidakpadanan pekerjaan ini boleh ditangani melalui intervensi awal membabitkan murid sekolah supaya laluan kerjaya mereka menepati minat dan bidang pengajian yang bakal diceburi di peringkat institusi tinggi, khususnya menerusi Portal MyFutureJobs.

“Saya percaya, sekiranya program Career Exploration ini dilaksanakan secara lebih meluas, ia mampu menjadi pemangkin dalam menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti serta menjadi pasaran buruh lebih efisien,”katanya.

Justeru itu, beliau menyeru sokongan semua pihak untuk membantu kerajaan bagi menambah baik peluang penempatan pekerjaan di pasaran kepada graduan tempatan.

Program Career Exploration garap potensi diri

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia yang mewakili Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek berkata, program tersebut adalah titik tolak bagi membolehkan para pelajar mengenalpasti potensi diri seawal usia.

“Pelaksanaan program sebegini membawa tujuan untuk mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan yang kini menjadi isu dalam pasaran buruh, terutamanya di kalangan graduan.

“Pelbagai program serta bengkel yang telah dirangka dan dirancang untuk murid-murid sekolah dengan hasrat menjadikan mereka sebagai generasi pelapis berkelas pertama.

“Para Guru Kaunseling juga telah diberikan pendedahan untuk memainkan peranan bagi memastikan pelajar sekolah menerima bimbingan kerjaya berdasarkan trend pasaran buruh semasa,”ujarnya.

“Sebelum ini, apabila murid mendapat keputusan, mereka baru tahu hala tuju mereka. Namun, dengan adanya CEP, para pelajar lebih mudah untuk membuat pemilihan mengenai kerjaya mereka.

“Misalnya, seseorang pelajar itu belajar aliran sains, tetapi dia mahu dan minat bidang sastera. Oleh itu, pelajar berkenaan sewajarnya memilih aliran yang betul sejak awal lagi supaya lebih terarah dan dapat mengelakkan memilih sesuatu bidang atas pengaruh rakan sebaya.

“Sebagai contoh, pelajar di SMK Batu Laut hanya melihat kerjaya biasa yang berada di sekitar mereka seperti guru, nelayan dan menyambung pelajaran di Kolej Komuniti. Jadi, mereka ini seharusnya didedahkan dengan kerjaya lebih mencabar dan meluas seperti doktor, arkitek dan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,”ujar Puan Zuaiza.

Katanya lagi, sebelum CEP diperkenalkan, para guru menggunakan kedua-dua teori Holland bagi mengenalpasti personaliti pelajar berdasarkan sifat realistik, artistik, investigatif atau lain-lain.

“Sebelum ini, murid dinilai berdasarkan personaliti mereka. Kini, dengan wujudnya CEP, ia membuatkan sistem lebih efisien dan progresif,”tambah beliau.

“CEP bagi gambaran lebih meluas kepada kami, pelajar..”

Ia turut diakui oleh salah seorang pelajar Tingkatan 5 SMK Batu Laut, Ahmad Zaim bin Za’afar yang bercita-cita menjadi seorang warga pendidik suatu hari nanti.

Anak bongsu daripada lima beradik mengatakan CEP membolehkan para pelajar seperti dirinya mengetahui lebih jelas mengenai personaliti dan hala tuju pada masa hadapan.

“Kerjaya yang kami impikan juga lebih jelas disebabkan sebelum ini, guru hanya dapat terapkan bidang yang disediakan dalam skop mereka. Kini, kami sebagai pelajar juga boleh terapkan keinginan kami.

“Bagi saya, CEP memberi gambaran lebih meluas terutama kepada para pelajar dalam memilih laluan kerjaya masing-masing. Saya sendiri ada matlamat sendiri iaitu mahu menjadi guru. Saya ingin menjadi guru yang boleh mengajar dalam pelbagai bidang,”ujar Ahmad Zaim.

Ahmad Zaim berkata, dengan adanya program CEP ini, ia berupaya membuatkan para pelajar lebih cakna akan matlamat dan hala tuju mereka selain diisi dengan program bermanfaat.

Sekadar info, bagi mereka diluar sana sedang mencari pekerjaan, anda boleh mendaftar di Portal MyFutureJobs di laman sesawang www.myfuturejobs,gov.my atau layari kerjayamadani.perkeso.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Insentif Kerjaya Madani 2023.

 

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*