
Tular di media sosial sehelai gambar seorang warga emas sedang termenung di hadapan tapak rumahnya yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir besar di Kampung Ajai, Raub baru-baru ini.
Gambar tersebut dirakam jurufoto Bernama ketika tinjauan mereka ke kampung berkenaan, hari ini.
“Penduduk Kampung Ajai, Rafiah Jamaludin, 69, termenung mengenangkan nasib selepas rumahnya hanya tinggal tapak ekoran banjir besar.
“Menurut Rafiah, dia terkejut selepas mendapati rumahnya dibawa arus banjir dan tersekat di pokok-pokok tidak jauh dari tapak asal rumah,” tulis kapsyen pada gambar tersebut.
Rata-rata netizen yang melihat gambar tersebut sebak dengan kejadian yang menimpa warga emas itu dan penduduk kampung yang lain.
Mereka mengharapkan pihak berwajib tampil segera memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk.
Banjir yang melanda Raub baru-baru ini disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 20 tahun.
Leave a Reply