Meskipun sudah menjengah usia 35 tahun, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Heliza Helmi mengakui tidak tertekan dalam soal mendirikan rumah tangga.
Menurut laporan Harian Metro, Heliza atau mesra dipanggil Kakja berkata dia tidak pernah terfikir untuk bergelar isteri kerana sibuk memberikan keutamaan terhadap ahli keluarga dan misi kemanusiannya.
“Mungkin kerana jadual harian padat dengan pelbagai aktiviti kemanusiaan. Jadi, tidak terfikir langsung mengenainya.
“Tipulah jika tiada yang bertanya, cuma saya bersyukur kerana ibu bapa juga tidak memberikan tekanan mengenai soal kahwin. Apabila tiba masanya kelak, pasti akan berlaku jua,” katanya.
Tegas penyanyi lagu Ayat Cinta Dari Tuhan itu, dia berharap individu yang bakal menjadi suaminya nanti akan memberikan sokongan terhadap misinya sekali gus tidak menimbulkan isu dikongkong atau sebagainya.
Bukan dari aspek untuk turut serta, namun sokongan dan kata-kata semangat. Adakah individu itu nanti berkongsi minat yang sama atau jatuh cinta ketika sedang melakukan misi kemanusiaan itu nanti?
“Saya tidak ada jawapannya kerana ketika misi itu fokus hanyalah membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro (Zaara Talita)
Leave a Reply