Innalillahi wainna ilaihiroojiuun..
Nama sebenar wali Allah yang mastur ini ialah Jusoh Bin Salleh dan dilahirkan pada tahun 1946. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pok Soh Wali berasal dari Terengganu.
Pernah suatu ketika dahulu, tular satu kisah di mana ada seorang pak cik tua yang nampak dhaif sungguh masuk ke sebuah kedai makan. Ramai orang di kedai tersebut pandang serong padanya. Akhirnya pak cik tua tersebut belanja habis semua orang dalam kedai tu. Inilah pak cik yang dimaksudkan di dalam kisah itu.
Sememangnya beliau seorang yang berperwatakan sangat zuhud dan dhaif. Orang-orang sekitar Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Kuantan mungkin kenal dengan wali Allah ni. Pok Soh Wali suka beriktiqaf di masjid dan surau.
Dikisahkan oleh mereka yang pernah bertemunya, saban tahun Pok Soh dizinkan Allah Taala bertemu malam Lailatul Qadar.
Beliau tinggal di Bukit Bauk, Dungun. Sebuah kawasan yang penuh dengan kisah- kisah misteri alam ghaib seperti jin dan seumpamanya. Dikisahkan juga jin di kawasan tersebut takut dan hormat pada Pok Soh.
Kadang-kadang beliau ada di Kuala Terengganu dan kadang-kadang ada yang melihat beliau di Kemaman. Saya percaya beliau seorang yang dikurniakan Allah Taala karomah yang besar.
Pok Soh Wali merupakan seorang ahli dalam ilmu tasawuf. Sesiapa yang berjumpa beliau pasti akan mendapat kata-kata nasihat yang berbentuk penyucian hati.
Antara nasihatnya ialah :
Orang mukmin yang hebat itu ialah :
- Dia meninggalkan dunia, sebelum meninggal dunia,
- Dia bersedekah sampai kaya, bukan dah kaya baru bersedekah,
- Dia berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah,
- Dia beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.
Tubuh itu dari tanah, maka penawarnya ialah apa yang datang dari tanah. Roh itu dari Allah, maka penawarnya juga adalah apa yang datang daripada Allah.
Diceritakan oleh Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal Hamzah – Mudir Madrasah al-Hidayah, Batu Burok yang selalu mendapat nasihat dan tunjuk ajar Pok Soh Wali:
“Pok Soh Wali ialah seorang wali Allah yang Allah Taala sembunyikan. Siapa-siapa yang nak cari atau jumpa beliau pasti tak kan jumpa. Tapi kalau kita tak berhajat pun nak jumpa beliau. InsyaAllah kita akan jumpa”
Al-faqir pernah hampir bertemunya dalam 10 meter sahaja pada tahun 2014, tapi itulah kehendak Allah Taala. Benar sungguh kata Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal, Jumpa bila tak berhajat, Hilang bila ia berhajat.
Pernah dikisahkan seorang pemuda yang sedang berfikir panjang di sebuah kedai makan tentang bagaimana nak selesaikan hutang yang berjumlah ribuan ringgit.
Tiba-tiba Pok Soh Wali datang ke kedai tersebut. Pemuda ni kasihan tengok Pok Soh dengan keadaan yang dhaif lalu dijemputnya duduk semeja dengan dia. Selesai makan, Pok Soh tanya kenapa muram. Pemuda itu beritahu tengah fikir macam mana nak bayar hutang. Dengar penjelasan itu, Pok Soh pun berlalu pergi.
Malam itu, tiba-tiba pintu rumah pemuda tersebut diketuk dan ternyata Pok Soh datang dengan menghulurkan sepucuk sampul. Dalam sampul surat tu ada jumlah wang yang cukup, serupa dengan hutangnya. Yang menghairankan bagaimana Pok Soh tahu jumlah tersebut sedangkan pemuda itu tak beritahu pun dan bagaimana juga Pok Soh mengetahui rumahnya. Wallahualam.
Pok Soh meninggal dunia pada 7 Januari 2021 ketika berusia 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.
Moga Allah Taala merahmati roh para auliaNya. Amin. Al Fatihah buat buat arwah Pok Soh.
*Sumber – Tuan Guru Ustaz Mustaffa Kamal dan maklumat awam.
Leave a Reply