Berniaga tak kedekut ‘topping’, pisang goreng cheese air tangan bakal pilot laris di Kajang… Dulu introvert, kini terkenal di TikTok
Enggan mempersiakan masa yang ada, jejaka ini gigih mengusahakan perniagaan pisang goreng keju dikenali sebagai Banana Dibs yang kini menjadi sumber pendapatan utamanya.
Senang disapa Adib, anak bongsu daripada tiga beradik itu sempat berkongsi kisah perjalanannya sebagai pelajar dan peniaga ketika dihubungi mStar, baru-baru ini.
BENARLAH kata orang, kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan segalanya.
Bagi Adib Aidil, 24, yang juga graduan sebuah sekolah penerbangan, dia tidak pernah berputus asa biarpun masih belum tiba rezekinya untuk bergelar juruterbang.
Cabaran berniaga
Menurut Adib, bidang perniagaan makanan tidak asing lagi kerana ibu bapanya merupakan pengusaha restoran di Kajang, Selangor, sejak 15 tahun lalu.
Adib membuka gerai di hadapan restoran ibu bapanya.
“Saya tamat pengajian pada Ogos 2020. Kalau ikutkan saya dah pergi temuduga, dah sign dengan sebuah syarikat penerbangan. Tapi disebabkan pandemik Cov1d-19, saya tak dipanggil.
“Jadi apabila berlaku macam ni, saya mulakan bisnes pada Januari 2021. Kenapa pisang cheese? Sebabnya saya selalu beli ketika duduk di Melaka dulu. Tapi sebab Cov1d-19, tak dapat ke sana.
“Awalnya cuma buat untuk diri sendiri apabila craving. Tapi tak sangka sedap pula. Jadi apabila dah rasa sedap tu, saya ambil keputusan untuk berniaga,” ujarnya yang bermula dengan modal RM500 sahaja.
Rezeki TikTok
Tambah Adib, dia bagaimanapun terkejut dengan penerimaan ramai, khususnya selepas video yang dikongsi olehnya tular dan meraih perhatian netizen di aplikasi TikTok.
Banana Dibs yang menjadi kegilaan para pelanggan.
Mendapat sokongan penuh ibu bapanya, Adib membuka gerai kecil di hadapan restoran ibu bapanya dan kini menawarkan 13 perisa pisang goreng cheese yang menjadi keg1laan pelanggannya.
“Saya buat gerai kecil depan restoran mak ayah. Mak ayah dah buka restoran tu 15 tahun. Mereka memang bagi sokongan penuh, mereka nak saya berdikari. Duit modal pun saya guna duit bantuan kerajaan, mak ayah tak bagi.
“Bermula kecil-kecilan, sekarang saya tawarkan 13 perisa. Paling laris tentunya coklat, Nutella, coklat cheese, Oreo cheese dan butterscotch. Daripada segi operasi pula, gerai saya buka Selasa sampai Ahad, Isnin saja cuti dan dibuka 10.30 pagi sehingga 6 petang,” ujarnya.
Sebagaimana peniaga-peniaga lain, Adib juga perlu bertatih tatkala dia memulakan bisnes dan banyak berdepan cabaran yang mematangkan diri pada hari ini.
Kata Adib, dia perlu melakukan dua kerja demi membayar pinjaman pengajiannya.
“Apabila tanya macam mana tahu saya berniaga, mereka kata tahu melalui TikTok. Siap ada yang datang nak ambil gambar bersama. Sejujurnya TikTok banyak bawa manfaat. Terima kasih sangat-sangat kepada yang selalu datang beli, yang beri sokongan kepada saya.
“Selain datang beli, ada juga yang datang bersedekah. Ada yang datang bagi duit dan minta saya sedekahkan makanan kepada sesiapa yang datang,” ujarnya lagi.
Mengenai perancangan masa depannya, Adib berkata dia tidak menolak seandainya menerima peluang untuk menceburi bidang penerbangan, namun tidak akan sesekali mempersiakan perniagaan yang semakin dikenali itu.
“Kalau ada rezeki, saya memang akan terima. Pada masa sama, saya tak akan tutup bisnes ini kerana ada pekerja yang boleh uruskan nanti,” ujarnya yang turut bekerja sebagai ejen insuran sejak Oktober tahun lepas.
Adib bersyukur apabila perniagaannya mula dikenali ramai.
“Sejak awal, saya tak target banyak pun kerana ini kali pertama berniaga. Awalnya, yang datang beli hanya keluarga. Dapatlah duit poket dalam RM20 sehari. Lepas tu, ia mula meningkat sedikit demi sedikit.
“Tahun lepas, gerai saya viral, saya pun terkejut tiba-tiba ramai yang datang. Bukan sekadar penduduk setempat, malah ada yang datang dari Shah Alam dan sebagainya,” ujarnya.
Menurut Adib lagi, perniagaan bukan sahaja menjadi sumber pendapatan, malah turut mengubah personaliti dirinya untuk lebih berkeyakinan ketika bertemu pelanggan.
“Setakat ini tak ada pun rasa segan berniaga. Cuma awal-awal tu kita tak biasa. Tapi masa dah berlalu, saya start rasa okey buat bisnes sebab dah nampak duit depan mata.
“Dan dulu saya tak berani, jenis introvert. Kalau nak expose diri pun rasa malu. Tapi kawan suruh saya post video di TikTok, dia kata jangan malu untuk tonjolkan diri. Alhamdulillah, saya dapat ramai pelanggan daripada TikTok.
Gerai Adib menawarkan banyak perisa pisang goreng cheese yang enak dan menyelerakan.
Akhir bicara, Adib sempat menitipkan pesan kepada anak muda lain agar tidak berputus asa dalam berdepan fasa sukar mencari kerja selepas tamat pengajian.
“Pada saya, kita kena cari big why. Untuk saya sendiri, sebab saya nak kena bayar pinjaman pengajian, lebih kurang RM3,000 sebulan. Satu kerja tak cukup untuk saya.
“Sekarang saya ada buat hibah dan medical card untuk clients. Siap ada client yang datang buat medical card di gerai ketika saya berniaga.
“Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk jana pendapatan. Selagi ada peluang, jangan lepaskan. Jangan malu, nak berniaga buat je. Selagi muda, ada tenaga, jangan berhenti mencuba dan berusaha,” ujarnya lagi.
Sumber : https://www.mstar.com.my/
Leave a Reply