Pelajar MRSM Kongsi Tip Peroleh PhD Pada Usia 27 Tahun

Setiap manusia dikurniakan rezeki yang berbeza, tidak kiralah daripada segi kewangan, keluarga, kesihatan mahu pun pendidikan. Bagi Muhammad Syahmeer How bin Mohd Firdaus How, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini bertuah kerana dapat menggenggam segulung ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usianya 27 tahun.

Guru yang pernah mendidik beliau, Dr. Zulkifli Hussain berbangga dengan anak muridnya ini dan dia sendiri membuat perkongsian tentang Syahmeer di laman Facebooknya.

Menurut Dr. Zulkifli, Syahmeer menuntut di MRSM Transkrian, Pulau Pinang sewaktu Tingkatan 1 hingga 3 dan memperoleh keputusan 8A dalam PMR 2008. Tingkatan 4 dan 5 pula, Syahmeer berpindah ke MRSM Tun Ghadar Baba, Melaka dan meraouh keputusan 6A+ 3A bagi SPM 2010.

Foto: Facebook Syahmeer How

Menggunakan keputusan percubaan SPM di MRSM TGB, dia berjaya mendapatkan tempat di Kolej MARA Kuala Nerang untuk peringkat foundation (2011), sebelum menyambung pengajian diperingkat Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Kimia) di UniKL MICET untuk tahun pertama (2012) dan tahun kedua-keempat di Massey University, New Zealand (2013-2015) dengan tajaan MARA.

Selepas menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda, Syahmeer diberi tawaran oleh Professor di Massey University untuk menjalani pengajian PhD dengan tajaan geran penyelidikannya sendiri. kajian PhD tersebut adalah tentang menggunakan konsep dan teori asas dalam kejuruteraan kimia untuk memahami impak proses pengunyahan makanan terhadap deria rasa dan aroma.

Syahmeer telah berjaya menghabiskan pengajian PhD dan bakal pulang ke tanah air untuk bekerja sebagai pensyarah kanan di Universiti Putra Malaysia.

Tip perkongsian berkaitan pengajian PhD

Setiap kejayaan yang dikecapi, sudah tentu ada tip dan amalan yang dilakukan bagi memudahkan setiap urusan. Dr. Zulkifli juga turut berkongsi antara tip yang dilakukan oleh Syahmeer bagi menamatkan pengajian PhD sewaktu usia muda.

1. Kerap berjumpa dengan penyelia (supervisor). Syahmeer akan bertemu dengan keempat-empat supervisor seminggu sekali untuk membincangkan tentang struktur dan hasil kajian. Penting untuk memastikan kajian kita ada kemajuan setiap minggu walaupun sedikit.

Foto: Facebook Syahmeer How

2. Sering berinteraksi dengan pelajar yang lain disebabkan pengajian PhD adalah perjalanan yang sunyi, mudah untuk hilang motivasi terutamanya apabila hasil kajian kita ‘gagal’ atau tidak seperti yang dirancangkan. Tip beliau adalah untuk sentiasa kongsikan masalah kajian bersama rakan-rakan PhD yang lain kerana lebih senang untuk menghadapi masalah itu bila kita tahu orang lain pun sudah melalui masalah yang sama.

Foto: Facebook Syahmeer How

3. Berani mengambil inisiatif. Semasa di tahun kedua PhD, kerja penyelidikannya tergendala untuk seketika apabila dia diujia dengan dugaan besar di mana ayahnya meninggal dunia secara tiba-tiba. Disebabkan itu, walaupun sudah berada di tahun ketiga, Syahmeer tidak lagi mempunyai hasil yang cukup, ditambahkan pula dengan peralatan yang diperlukan untuk eksperimen tidak ada di universiti.

Kebetulan juga pada masa itu, dia diberi peluang untuk membentang sebahagian dari penyelidikannya di konferens antarabangsa di Nottingham, United Kingdom. Melalui konferens tersebut, dia sempat berjumpa dengan beberapa penyelidik terkemuka di dalam bidang kajiannya yang kebetulan juga mempunyai peralatan tersebut di makmal mereka.

Hasil daripada perjumpaan itu, dia ditawarkan untuk menjalani kajian di Paris, Perancis selama tiga bulan di mana hasil kajian tersebut memberi impak yang besar dalam kejayaan PhDnya itu.

4. Amalkan kehidupan yang seimbang PhD memerlukan penjanaan dan perkembangan idea yang berterusan, terutamanya apabila sudah sampai tahap penulisan tesis. Bagi Syahmeer, idea lebih mudah untuk keluar dengan fikiran tenang dan segar. Cara paling mudah ialah dengan bersukan dan sering mengambil percutian yang jauh dari tempat belajar.

Semasa menjalani pengajian, Syahmeer akan mengambil masa untuk bersukan (skuasy) sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan sering bercuti di luar negeri pada hari minggu.

Foto: Facebook Syahmeer How

5. Anggap PhD seperti kerja, bukan belajar. Tip terakhir yang dikongsi adalah untuk menganggap PhD ini seperti suatu pekerjaan kerana ia tidak sama seperti Ijazah Sarjana Muda di mana jadual harian kelas sudah diberi oleh universiti.

Semasa menjalankan pengajian, Syahmeer selalunya berada di kampus jam 8 pagi dan hanya akan pulang selepas jam 5 petang, Isnin sampai Jumaat. Baginya suasana pekerjaan itu penting untuk memastikan kita serius semasa menjalani kajian.

Begitulah antara kisah dan tip yang dikongsikan tentang kejayaan Syahmeer How yang memperoleh PhD pada usia 27 tahun. Ya, bukan mudah untuk kita mengecap sebuah kejayaan, semuanya perlu diiringi dengan doa dan usaha.

Semoga kisah perkongsian ini dapat memberi inspirasi buat anak muda untuk terus berjaya dalam bidang akademik.

Sumber:Remaja

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*