Susulan kekecohan membabitkan pekebun durian Musang King dan anggota penguat kuasa, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dihantar ke Raub, Pahang bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurut laporan BH Online, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani meminta semua pihak yang terbabit mematuhi peraturan undang-undang sedia ada.
“Tentu sekali ada antara mereka yang tidak berpuas hati, namun mereka perlu menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Acryl Sani berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menganggu tugas pihak berkuasa.
“Isu mengenai pencerobohan adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.
“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan operasi bagi memusnahkan kebun tersebut terpaksa dihentikan selepas empat jambatan simen dirobohkan dipercayai dilakukan pekebun haram di kawasan Hutan Simpan Batu Talam itu.
Semalam, 18 pekebun direman selama dua hari hingga hari ini oleh Mahkamah Majistret Raub selepas melakukan beberapa provokasi ketika anggota penguat kuasa menjalankan operasi pada Ahad.
Sumber: BH Online (Safeek Affendy Razali)
Leave a Reply