Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Begitulah nasib seorang warga emas berusia 87 tahun yang terpaksa menjual sayur-sayuran di kaki lima Pasar Siti Khatijah, Kota Bharu demi mencari sesuap nasi.
Kisah warga emas berkenaan tular di media sosial selepas videonya sedang menunggu pelanggan dirakam oleh seorang netizen bernama Hanif Asyraf sebelum dimuat naik ke akaun Tik Tok miliknya.
Menurut Hanif, warga emas yang buta sebelah mata itu tinggal bersendirian di Kampung Selinsing, Pasir Puteh dan datang berniaga di Kota Bharu dengan menaiki teksi.
Apa yang mengharukan apabila warga emas itu memberitahu dia terpaksa menjual sayur untuk mendapatkan wang bagi membeli makanan.
Simpati dengan nasib warga emas berkenaan, Hanif pun bertanya jika ada apa-apa yang diperlukan oleh warga emas tersebut.
Bagaimanapun, warga emas itu hanya meminta RM5 sahaja untuk membeli beras serta nasi goreng sebagai makanan untuk mengalas perutnya yang lapar.
Tanpa berlengah, Hanif terus membelikan dan menyedahkan beras serta makanan untuknya.
Jelas, terpancar senyuman kegembiraan di wajahnya sebaik sahaja menerima pemberian pemuda berhati mulia itu.
Di akhir video, warga emas tersebut menyedekahkan barang jualannya sebagai tanda terima kasih buat Hanif.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak tatkala video tersebut.
Dalam pada itu, ada juga yang mempersoalkan di mana perginya pihak bertanggungjawab yang sepatutnya mengambil berat hal ehwal rakyat di negeri itu.
Sumber : cempedakcheese
Leave a Reply