Siapa tidak mengenali pelantun lagu Cek Mek Molek iaitu Datuk M. Daud Kilau yang pernah popular sekitar tahun 70-an sebelum mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun menurut laporan Utusan Malaysia, beliau yang mesra disapa Raja Gelek itu menawarkan dan mencari individu yang mampu menggantikan tempatnya dengan syarat boleh bergelek.
Artis veteran berusia 83 tahun itu turut menawarkan koleksi baju yang pernah digunakan semasa membuat persembahan secara percuma dan akan diberikan kepada penghibur yang bakal menggantikan dirinya.
“Saya nak cari pengganti. Jika sesiapa nak gantikan tempat saya sebagai Raja Gelek, ambillah pakaian yang saya simpan ini secara percuma. Ada 99 helai saya nak bagi tapi mesti tahu bergelek semasa menyanyi.
“Kalau nak, silalah datang jumpa saya. Tapi mestilah peminat Daud Kilau. Nak bergelek saya boleh ajarkan,” jelasnya.
Berbicara mengenai kesihatan pula, beliau mengakui semakin sihat dan kini sudah boleh berjalan, menunaikan solat dan makan seperti biasa namun masih tetap dengan keputusanya yang mahu meninggalkan dunia hiburan.
“Saya tak akan naik pentas lagi, tak akan buat persembahan walaupun jika ada tawaran, Saya nak menetap di kampung dan buat amal ibadah,” ujarnya.
Terdahulu, Daud Kilau terlantar di rumah kerana keadaannya yang tidak baik ekoran menghidap penyakit kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Sumber: Utusan Malaysia (Ain Safre Bidin)
Leave a Reply