Pemilik pusat jagaan ratusan kucing dan anjing, Pak Mie Shelter menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah di sini pagi tadi.
Allahyarhamah, Halijah Idris, 73 atau lebih dikenali sebagai Mak Intan dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi akibat menghidap kanser ovari.
Menantu sulung Mak Intan, Nurhamizah Zamri berkata, ibu mertuanya dimasukkan ke hospital pada 21 Januari lalu susulan muntah dan cirit-birit.
Katanya, selepas seminggu doktor menjalankan pembedahan usus sebelum mengesahkan dia menghidap kanser ovari tahap empat.
“Keadaan mak tidak stabil selain perlu berada di hospital lebih lama bagi membolehkan pihak hospital melakukan pemantauan.
“Tiga hari lepas mak memberikan respon positif termasuk bercakap dengan semua anak, menantu serta cucunya tetapi semalam doktor memberitahu tahap kesihatan merudum.
“Pagi ini kami dikejutkan dengan berita pemergian mak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Jelas Nurhamizah, jenazah ibu mertuanya masih di hospital dan dijangka akan dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan PKNK di sini.
Media sebelum ini melaporkan, Mak Intan yang menguruskan pusat perlindungan haiwan terbiar di sini sanggup menghabiskan masa 24 jam semata-mata untuk menjaga sekurang-kurangnya 700 kucing dan anjing jalanan. – MalaysiaGazette
Sumber: cempedakcheese
Leave a Reply