Seorang Ibu tua menceritakan pengalamannya.
Saya ada 3 orang anak lelaki, semuanya sudah beristeri.Suatu hari saya menziarahi along. Tujuan saya ialah ingin menginap di rumahnya bersama keluarganya.Di awal pagi saya minta air dari menantu saya untuk berwudhu’. Saya wudhu’ dan solat. Air lebihan wudhu’ sengaja saya tumpahkan ke atas katil tempat tidur saya.
Ketika dia datang hantar sarapan pagi, saya kata, ” Anakanda, beginilah masalah kalau sudah tua. Semalam mak terkencing di atas katil. “Dengan spontan dia emosi dan marah. Saya dengar kata-kata kasar, pedas dan buruk keluar dari mulutnya. Dia suruh saya cuci dan keringkan sendiri, tiada masalah sebab bukan air kencing pun. Dia juga beri amaran, jangan kencing lagi, kalau kencing lagi, awas. Dia ingat, kalau orang tua seperti saya boleh tahan dari terkencing, jika sudah memang begitu….Saya tahan kemarahan kerana saya ada agenda tersendiri. Saya tukar cadar, bersihkan tempat tidur dan keringkan kembali.
Hari berikutnya saya pergi ke rumah angah. Di sana saya buat perkara yang sama. Meledak marah isterinya dan dia memperlakukan saya seperti yang dilakukan oleh isteri along. Bahkan dia mengadu dengan angah. Angah diam saja, tidak marah isterinya dan tidak membela saya maknya.
Hari seterusnya saya pergi ke rumah anak bongsu yang kami panggil adik. Di rumah adik saya juga lakukan perkara yang sama seperti yang saya lakukan di rumah 2 orang abang-abangnya. Ketika isterinya datang membawa sarapan pagi saya beritahu bahawa mak semalam terkencing di atas katil. Sambil tersenyum ramah dia kata, ” Tak apa, mak. Memang biasalah orang tua. Dulu berapa kerap kami terkencing di pangkuan mak ketika kami masih kecil.”Kemudian dia bersihkan, keringkan dan mewangikan.
Siang hari itu saya kata, ” Mak ada seorang kawan. Dia minta tolong mak belikan cincin untuknya, tapi mak tidak tahu ukurannya. Orangnya sama seperti anakanda ini. Tolong berikan kepada mak ukuran jari. ”
Setelah dapat ukuran, si ibu pergi ke kedai emas membeli cincin dan perhiasan emas yang lain (yang tidak perlu ukuran) kerana dia ada banyak wang. Tidak lupa juga kasut, tas tangan dan lain-lain buatan luar negara yang berharga ribuan ringgit.
Kemudian dia panggil semua anak-anak dan menantunya datang ke rumahnya. Dia keluarkan semua perhiasan emas dan aksesori yang sudah dibeli dan dia ceritakan perihal sebenarnya bahawa dia sengaja menumpahkan air di atas katil, dia bukan terkencing.
Dia panggil isteri adik menghampirinya dan menyarungkan cincin, pakaikan rantai leher dan gelang tangan yang kelihatan tebal dan gemerlapan, pakaikan kasut dan berkata, ” Inilah menantu mak tempat mak bersandar nanti ketika mak sudah semakin tua. Mak akan menghabiskan sisa-sisa usia mak bersamanya. Kalian perlakukan mak begitu semasa mak masih sihat, bagaimana bila mak terlantar dah tak boleh berjalan. “Isteri along dan angah hampir pengsan menahan malu dan sesal. Si ibu itu meneruskan kata-kata, ” Seperti inilah nanti perlakuan anak-anak kamu kepada kamu ketika kamu sudah tua.
Bersiap-siaplah untuk menyesal pada hari itu sebagaimana menyesalnya mak atas letihnya mak mengasuh kalian dari kecil. Adik kamu ini akan hidup bahagia dan akan menemui Tuhannya dalam keadaan gembira.
Kamu berdua tidak mendapatkan perkara seperti ini dari isteri-isteri kamu kerana kamu tidak mendidik mereka tentang nilai harga seorang ibu. ”
رب اغفر لي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا
Leave a Reply