Jika kita sering melayari laman sosial, pasti perasan dengan kanak-kanak berasal dari Sabah yang sering memberikan nasihat dan pesanan menerusi video.
Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berusia lapan tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi.
Meninggal dunia kerana sesak nafas
Menerusi Sinar Harian, ibu Aming, Santi Sabri, 33 memaklumkan yang anaknya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.
Menurutnya, Aming berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.
Tiada juga apa-apa, cuma dia makan mi segera saja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit. “Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat,” katanya.
Pesan supaya tutup aurat
Selain itu, Santi ketika dihubungi sumber memaklumkan yang Aming sempat memberi pesanan kepadanya sebelum meninggal dunia supaya menutup aurat agar bapanya tidak menanggung dosa di kemudian hari.
“Sebelum meninggal dunia, sempat lagi dia berpesan kepada saya, tutup rapat-rapat aurat supaya bapa tidak menanggung dosa.
“Saya tidak sangka anak saya pergi begitu saja, sebelum dia meninggal, saya dan suami ada di sisinya,” luah Santi hiba.
Jenazah anaknya akan dikebumikan terus di tanah perkuburan Kampung Titingan sebaik selesai untuk pengurusan jenazah.
Terdahulu, video Aming memberikan pesanan-pesanan berbentuk nasihat telah tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Keselamatan.
Tiada lagi senda gurau
Pemergian Aming ini telah dimaklumkan menerusi satu akaun Facebook dikenali sebagai Jimmar Julhori.
Menerusi perkongsian tersebut, Jimmar memohon kepada guru-guru, rakan dan sahabat Allahyarham supaya dapat sama-sama menyedekahkan al-fatihah buat Aming yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Sumber: Era Sabah, Sinar Harian (Asyikin Asmin), Jimmar julhori
Leave a Reply