Johan Abdullah buntu fikir tempat tinggal baru

Seremban: “Ke mana saya sekeluarga nak pergi?” Pelakon yang biasa memegang watak lelaki Inggeris dalam filem dan drama tempatan, Johan Abdullah, yang kini menderita penyakit Parkinson dan angin ahmar buntu memikirkan tempat tinggal selepas ini.

Menurut Johan, 73, rumah sewa yang diduduki bersama isteri, Sarepah Meriam Aboo, 49, dua anaknya, Abdullah Musa Johan, 11, dan Orchid Raihani Johan, 6, sejak 2008 di sini, akan dijual pemiliknya.

“Kami sekeluarga cuba berbincang dengan pemilik rumah, namun kami diberi tempoh selama tiga bulan oleh tuan rumah untuk mencari rumah baharu dan mengosongkan rumah.

“Manalah kami nak tinggal selepas ini kerana kami tiada pendapatan tetap malah isteri ada terfikir buat sementara waktu ini nak buat rumah kongsi di tanah lot milik saya di Kampung Gadong tidak jauh dari sini,” katanya.

“Bukan mudah mencari rumah baru yang perlu menyediakan duit bayaran muka atau ‘deposit’ kerana saya sudah lama tidak bekerja dan juga persekolahan kedua anak kami,” ujar pelakon watak ‘orang putih’ yang senonim dengannya.

Menurut isterinya, Sarepah, mereka sekeluarga mula hilang sumber pendapatan sejak suami jatuh sakit pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

“Kami sekeluarga sebelum ini meneruskan hidup dengan duit upah menulis dokumen kerajaan dan upah berlakon diterima suami.

“Tapi bila suami sakit memang terputus langsung sumber pendapatan dan bila memikirkannya buat saya jadi sedih kerana saya sendiri turut menghidap penyakit tulang belakang yang mana pergerakan agak terbatas.

“Lagipun kami ada dua anak masih bersekolah perlu ditanggung berusia 11 dan enam tahun,” katanya.

Oleh kerana itu menjadi hasrat Johan untuk berlakon semula supaya dapat menampung hidupnya sekeluarga.

Apabila mengenang keadaan Johan membuatkan Sarepah sayu lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya juga yang tidak lagi sekuat dulu sejak diuji penyakit tiroid dan ‘slipped disc’ (cakera teranjak).

“Selagi Allah bagi saya kudrat untuk jaga suami, saya akan terus pikul tanggungjawab ini dan saya rela hadapi dugaan ini, biarlah kami susah senang bersama.

“Cuma yang saya risau kalau keadaan kesihatan saya yang tidak sekuat dahulu untuk menjaga abang Johan yang lebih memerlukan kerana kalau saya kuat tidak mengapa, tapi sekarang saya pun tak sihat,” katanya.

Sarepah berkata, mereka pernah menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) dan Persatuan Artis yang diketuai DJ Dave.

“Terima kasih kepada mereka yang mengambil berat termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memahami keadaan kami sekeluarga.

“Saya harap abang Johan segera sembuh seperti sediakala dan dia dapat melepaskan rasa rindu kembali berlakon,” katanya.

Sumber : hmetro

 

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*