Jejaka Sabah Terima Anugerah Naib Canselor UKM. Cemerlang Akademik & Kokurikulum

Jejaka Sabah Terima Anugerah Naib Canselor UKM. Cemerlang Akademik & Kokurikulum

Inilah kisah John Sebastian Tunggolou, anak jati negeri Sabah yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor sempena majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia yang ke-50

Bukan mudah untuk menerima anugerah istimewa yang diberikan oleh universiti ketika majlis konvokesyen. Bersaing dengan ramai lagi yang turut cemerlang. Namun kalau sudah individu tersebut merupakan yang terbaik dalam kalangan pelajar terbaik, pasti ada ganjaran yang diterima.

Dalam kapsyen status yang dimuat naik di Facebook peribadinya, jejaka ini berkata, “Puji tuhan, terima kasih UKM. Lulus dengan cemerlang dengan Anugerah Naib Canselor. Menjunjung kasih Tuanku.”

Menjadikan momen tersebut lebih manis, bekas pelajar Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu ini menerima anugerah tersebut daripada Canselor UKM sendiri, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Augerah Naib Canselor di Universiti Kebangsaan Malaysia diberikan kepada seorang graduan terbaik di peringkat prasiswazah seluruh fakulti dan mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.67 atau purata nilai markah kumulatif yang setara dengannya.

Merupakan seorang graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Fakulti Pendidikan UKM, bukan calang-calang dia berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.81. Sepanjang tempoh pengajiannya selama empat tahun, jejaka berusia 24 tahun ini berjaya memperoleh keputusan dengan Anugerah Dekan sebanyak enam kali.

Ini terbukti ketika di bangku universiti John menyandang pebagai jawatan seperti Presiden UKMbassadors, Yang di-Pertua Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) dan Timbalan Ketua Eksekutif Kolej Burhanuddin Helmi. Selain itu dia juga aktif dalam bidang tarian dan mewakili UKM dalam banyak acara.

Selain dinilai dari segi pencapaian terbaik bidang akademik dalam kalangan mahasiswa, penerima anugerah ini juga dinilai menerusi pendirian sikap kesarjanaan yang tinggi; pencapaian mutu kepimpinan yang tinggi; sumbangan terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat kampus, pencapaian cemerlang dalam bidang sukan serta sumbangan ke arah mengharumkan nama universiti.

Memetik perkongsiannya yang disiarkan di Facebook rasmi UKM, “Saya bukanlah seorang pelajar yang terlalu bijak, akan tetapi saya bersedia untuk bekerja keras untuk memastikan saya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda saya dengan penuh rasa bangga.”

Diperingkat antarabangsa pula dia pernah menerima Anugerah Penyampai Terbaik dan Pemenang Persembahan dalam Kumpulan pada Youth Regional Affairs Dialogue 2022 di Nanyang Technological University, Singapore.

Baru menamatkan latihan industri di Sekolah Alam Shah, Putrajaya pada Julai yang lalu, kini dia merupakan seorang Felo Perdana di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Bakal bergelar seorang guru, John pada mulanya tidak pernah terlintas untuk menceburi profesion ini, akan tetapi beliau mendapat inspirasi daripada datuk dan neneknya yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Guru Peringkat Negeri Sabah.

Sumber : remaja

 

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*