‘Maafkan mama papa sebab cuai jaga kamu’ – Ibu peluk erat jasad anak mati lemas undang sebak

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Jerong di Kampung Bikam di sini ditemukan mati lemas hari ini.

Mayat, Muhamad Amsyar Mohd. Zamri dijumpai pada pukul 11.45 pagi kira-kira 10 meter dari tempat dia terjatuh.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Zaini Jamaluddin berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.58 pagi.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada ibu bapa mangsa, kanak-kanak itu bermain di kawasan berkenaan sebelum kasut miliknya dijumpai di tali air berhampiran.

“Operasi mencari mangsa segera dijalankan sebelum mayatnya ditemukan pada jarak 10 meter dari lokasi dia jatuh. Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, keluarga mangsa datang ke Kampung Bikam untuk mengunjungi saudara mereka di sana semalam.

Bagaimanapun katanya, Muhamad Amsyar ke tali air tersebut untuk bermain air pada pukul 10.45 pagi bersama dua adik-beradik dan seorang sepupunya.

“Mangsa terjatuh ke dalam sungai sebelum tiga yang lain berlari memberitahu ibu bapa mereka yang berada di rumah kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Operasi mencari mangsa dalam keadaan hujan lebat dan arus deras sebelum mayatnya dijumpai sejam kemudian,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, operasi disertai lapan anggota bomba manakala masing-masing enam anggota daripada polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*