Gadis lega bakal tunang seolah dapat petunjuk selepas mimpi arwah bapa, tak teragak pilih bakal adik ipar sarung cincin!
MAJLIS pertunangan gadis ini sedikit berbeza apabila upacara menyarungkan cincin dilakukan oleh bakal adik iparnya.
Menurut Nurul Farzana Rahim, 22, tunangnya, Azrai Salahudi, 30, sudah kehilangan ibu dan bapa sekitar tujuh tahun lalu.
Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Ana berkata sebelum majlis berlangsung Azrai mula bimbang memikirkan siapa yang perlu menggantikan tempat arwah ibu dan bapanya sebagai wakil keluarga ketika majilis pertunangan mereka pada 17 September lalu.
View this post on Instagram
“Keluarga Azrai memang dah tak ada ibu dan bapa sejak beberapa tahun lepas. Memang mereka survive adik beradik saja.
“Jadi bila nak kawin Azrai jadi ‘pening’ sikit siapa yang kena datang sebagai wakil rombongan dan siapa akan sarungkan cincin. Memang dia yang uruskan segalanya.
“Sebelum ni adik-adik perempuan kahwin, dialah jadi wali untuk mereka. Paling penting, dia memang berjanji pada diri nak tunggu semua adik perempuan kahwin baru dia menyusul pula,” kata Ana sambil menambah Azrai merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.
Ana yang berniaga kosmetik berkata isu mula timbul apabila tiba giliran Azrai ingin mengikat tali pertunangan.
Namun, setelah dua minggu memikirkan jalan penyelesaian, Azrai menghubungi Ana memberikan perkhabaran gembira mengenai mimpi pada malam sebelumnya.
Menurut Ana yang menetap di Cheras, Selangor, pada masa itu Azrai memutuskan untuk menjadikan adiknya, Athirah Salahudi yang berusia 28 tahun sebagai wakil menggantikan arwah bapa dan ibunya.
“Tak pernah terfikir seumur hidup akan dapat bakal famili yang tak ada mak ayah. Sampai sekarang masih fikirkan tunang saya yang bimbang mengenai siapalah bakal jadi wakil dia nanti.
Ana dan Azrai selamat bertunang pada 17 September 2022.
“Lama juga dia fikir fasal tu untuk majlis kami. Tapi ada satu hari tu dia bangun pagi terus telefon beritahu saya yang dia mimpi arwah bapanya malam tu. Dia cakap mereka bincang hal pertunangan kami. Katanya mereka dah tahu dan restui hubungan kami.
“Selepas Azrai dapat mimpi tu akhirnya kami sepakat minta tolong adik perempuan sulung dalam keluarganya jadi wakil. Lagipun dia lebih tua dan dari situlah tanda saya hormat dia sebagai bakal adik ipar,” katanya lagi.
Ana juga bersyukur majlis pertunangan yang disambut bersama hari lahir bapanya berjalan dengan lancar.
Akhirnya kami ambil keputusan sepakat untuk minta tolong adik perempuan sulung dalam keluarganya jadi wakil.
NURUL FARZANA
Untuk rekod, video dimuat naik gadis ini di TikTok meraih lebih 1.6 juta jumlah tontonan setelah disiarkan.
Rata-rata warga maya turut berkongsi kisah mereka yang berdepan situasi hampir sama seperti Ana.
Majlis menyarungkan cincin pada jari Ana dilakukan oleh adik iparnya, Athirah Salahudi.
“Apa-apa pun lega saya dah bertemu jodoh Bakal keluarga pun semuanya memang baik.
“Mereka pun dah anggap mak abah saya macam keluarga sendiri. Saya harap hubungan kami kekal sampai bila-bila dan majlis perkahwinan pada 12 November 2022 nanti berjalan dengan lancar.
“Bagi mereka yang bakal bertunang dan berkahwin, dapatkan restu daripada kedua-dua pihak. Sangat penting untuk kekalkan hubungan ini. Apatah lagi pada yang masih ragu-ragu dengan pilihan hati, mintalah petunjuk dengan solat istikharah.
“Doakan perjalanan dan proses kami berdua berkahwin berjalan dengan lancar,” kata Ana.
Sumber : Mstar
Leave a Reply