Conteng tembok istana dan tumbuk polis, suspek ‘cabut lari’ meninggal kemalangan

Seorang lelaki dipercayai terbabit dengan dua kejadian khianat disahkan meninggal dunia oleh pihak polis apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Bedong Sungai Petani Kedah 15 Julai 2021.

Conteng tembok istana

Menerusi Harian Metro, lelaki yang menunggang motosikal berwarna hitam berusia lebih kurang 30 an itu dikatakan telah menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit kira-kira jam 3 petang 15 Julai 2021 dengan tulisan ‘SAMR’.

Tumbuk polis wanita

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, suspek bagaimanapun sempat melarikan diri dan dilaporkan menumbuk seorang anggota polis wanita yang sedang bertugas kira-kira jam 5 petang selepas datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Suspek juga didapati membaling satu objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan motosikal warna hitam.

Larikan diri, meninggal pula

Oleh itu, pihak polis bertindak mengesan suspek bagi membantu siasatan berkenaan kedua-dua kejadian tersebut. Pihak polis juga turut berjaya mengesan motosikal suspek sebelum disedarinya.

“Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri, tanpa mengendahkan amaran pihak polis supaya berhenti.

“Ketika dalam usaha melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek dipercayai terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani menyebabkannya cedera,” kata Kamarul Zaman.

Walau bagaimanapun, Kamarul Zaman memaklumkan, pegawai perubatan yang ke lokasi kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

“Siasatan lanjut diteruskan,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli), Twitter PDRMsia

 

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*