Buka masjid supaya umat dapat solat hajat berjemaah ketika musibah

Sejak semua jemaah masjid patuh dengan SOP tiada kluster baru berlaku

لَوْ يعْلمُ النَّاسُ مَا في النِّداءِ والصَّفِّ الأَولِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يسْتَهِموا علَيهِ لاسْتهموا علَيْهِ، ولوْ يعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِير لاسْتبَقوا إَليْهِ، ولَوْ يعْلَمُون مَا فِي العَتَمَةِ والصُّبْحِ لأتوهمُا ولَوْ حبوًا

_“Sekiranya manusia itu mengetahui pahala menyahut seruan azan dan pahala pada saf pertama, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkan keduanya, dan sekiranya mereka mengetahui pahala orang yang bersegera mendatangi solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk lebih awal, dan sekiranya mereka mengetahui pahala solat Isyak dan solat Subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatangi keduanya meskipun dengan merangkak.”_ (Riwayat Al-Bukhari)

2. Mungkin kita terlupa atau mungkin juga terlepas pandang bahawa Rasulullah SAW pernah berpesan dan menekankan betapa besarnya darjat dan juga kelebihan solat secara berjemaah terutamanya pada waktu fardhu solat Isyak dan Subuh sehingga sesiapa yang mengetahuinya akan berusaha untuk pergi ke masjid walau dalam keadaan merangkak sekalipun kerana mengejar fadhilat yang amat besar.

3. Justeru, adakah fadhilat yang begitu hebat kelebihannya hanya ada pada waktu tertentu sahaja, iaitu semasa suasana menyenangkan, semasa di kala negara sedang aman, atau hanya apabila persekitaran berada dalam suasana tenteram sahaja?

4. Tentu sekali jawapannya; Tidak! Ia tidak terikat dengan suasana dan keadaan apa sekalipun, ganjaran yang ada pada fadhilat solat berjemaah ini terbuka seluas-luasnya setiap kali masuknya waktu solat berjemaah, dan Rasulullah SAW menyebut antaranya pada masa masuk waktu solat Isyak dan Subuh. Dan adakah ganjarannya hanya berupa pahala sahaja? Tentulah juga tidak, kerana ganjaran Allah SWT tidak hanya terhad pada memberi pahala kepada hamba-hamba-NYA, ia— termasuk juga dalamnya terdapat ganjaran “rahsia rohani”, iaitu rahsia-rahsia perbendaharaan dunia kerohanian yang tiada siapa dapat menjangkau tahap batasannya, atau mungkin tidak ada sempadannya.

5. Maka dalam keadaan sekarang ini, apabila seluruh negara kita sedang berdepan wabak Covid-19 yang sedang mengganas, tidakkah ini adalah masa paling kritikal yang negara memerlukan pertolongan daripada Allah SWT dan tidak akan datang pertolongan Allah itu melainkan hamba-hamba-NYA berdoa kepada-NYA? Tidak dapat dinafikan akan bahayanya pandemik Covid-19 ini kepada negara sehingga kerajaan memutuskan _lockdown_ semula dengan tujuan untuk memutuskan rantaian penularannya daripada merebak meluas ke seluruh negara.

6. Dengan segala usaha penerangan dan penjelasan tentang bahaya wabak ini yang pantas merebak meluas, kita tertanya-tanya apakah peranan masjid juga patut dihentikan? Padahal dari sudut kerohanian peranan masjid itu amat besar dan statistik menunjukkan masjid adalah antara kluster terjangkit yang paling minima dan pada kebanyakan tempat tidak ada langsung masjid terlibat. Keadaan ini berlaku kerana pematuhan SOP pencegahan COVID-19 di kalangan jemaah masjid adalah yang paling berdisiplin dan terbaik, sebab jemaah tidak pernah berlaga bahu, mematuhi jarak satu meter, masuk ke masjid atau surau dengan penuh tertib dan selepas solat tidak duduk dekat-dekat bahkan tidak bersalaman seperti lazimnya.

7. Keadaan ini amat jauh berbeza dengan yang kita lihat sering berlaku di pasar malam, pasaraya, restoran-restoran, kedai-kedai runcit yang mana bilangannya terlalu ramai, dan dalam keadaan tertentu bersesak-sesak semasa membeli-belah seperti tidak ada peraturan SOP. Dan pengunjung yang datang ke tempat-tempat awam itu datang dari pelbagai tempat yang kita tidak tahu status kesihatan mereka. Sedangkan ahli kariah dari kampung atau dari kawasan kejiranan perumahan ini adalah orang yang sama.

8. Sayugia kita sebagai umat Islam berasa yakin – semakin ramai ahli kariah yang hadir ke Rumah Allah, dengan sama-sama secara berjemaah berdoa, merayu dan merintih kepada-NYA dengan tujuan memohon agar wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT dan supaya umat dapat kembali memakmurkan masjid-masjid yang

juga merupakan Rumah-rumah Allah SWT dan agar kita kembali meletakkan kebergantungan hanya pada Yang Satu bukannya bergantung pada sesama manusia. Maka tidak mustahil Allah Taala memakbulkan doa kita semua.

9. Selain itu, sebenarnya masjid-masjid adalah tempat yang paling disukai oleh Allah Taala di muka bumi ini, manakala pasar-pasar adalah tempat yang paling dibenci. Maka wajarlah kerajaan yang didominasi oleh pemimpin Melayu Islam hari ini mencari jalan bagaimana aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh diteruskan seperti biasa, walaupun dibuka seketika hanya pada waktu solat 5 waktu sahaja.

10. Sampai bilakah ekonomi dunia dibenarkan berjalan tetapi “ekonomi akhirat” tetap mahu dihentikan? Bagaimana negara dan kerajaan akan beroleh keberkatan jika masih takut-takut hendak membenarkan masjid dan surau dibuka semula? Jika sektor ekonomi boleh dibuka untuk “seimbangkan kehidupan dan mata pencarian”, mengapa pula “sektor kerohanian” seperti masjid dan surau tidak boleh dibuka? Bukankah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah sendiri ada berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Lembah Klang dan Sabah sebelum ini tidak gagal kerana kadar jangkitan berjaya diturunkan daripada 2.2 kepada 1.0.

11. Maka, kenapa apabila meningkatnya Covid-19 di negara ini yang berpunca daripada ahli politik melalui PRN Sabah, sehingga mencetuskan Gelombang Ketiga, tetapi aktitivi utama mereka seperti ke Parlimen, bertemu bersama sendiri, berbincang hal politik serta mempengerusikan pelbagai mesyuarat tidak dihentikanpun sebelum ini? Jika kerajaan rasa tidak wajar ia dihentikan, seperti itulah tidak wajar masjid dan surau ditutup, kerana yang mencetuskan pelbagai kluster sebelum ini sehinggalah PKP 2.0 dan darurat pula dilaksanakan, ia bukan berpunca daripada ahli kariah masjid.

12. Justeru mungkin kerana itulah Allah Taala uji negara ini berterusan dengan ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik serta pemimpin-pemimpinnya asyik berebut kuasa – satu pihak bermati-matian tidak mahu kehilangan kuasa dan satu pihak lagi sedaya upaya mencari jalan ingin berkuasa. Ini kerana tempat yang paling disukai-NYA iaitu masjid-masjid menjadi antara tempat pertama difikirkan oleh kerajaan perlu ditutup kepada awam, bukannya dicari jalan bagaimana ia boleh diimarahkan dan dimakmurkan.

13. Malah penutupan masjid dan surau kepada umum sebelum ini turut menimbulkan persoalan, antaranya oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim yang mempersoal kewajaran ia dilaksanakan secara drastik serta kenapa masjid turut ditutup sedangkan tiada kluster berkaitan masjid direkodkan.

14. Sejak semua jemaah masjid patuh dengan SOP yang ketat, tiada langsung kluster berkaitan masjid berlaku tetapi masjid pula menjadi antara tempat pertama ditutup sebaik sahaja PKP dilaksanakan. Kenapakah apabila meningkat sahaja Covid-19, maka masjid dan suraulah menjadi _’target’_ utama untuk ditutup terlebih dahulu? Bukankah lain-lain tempat yang berkaitan dengan ekonomi hampir semuanya masih dibenarkan berfungsi seperti biasa?

Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Sumber: ismawe

Artikal Popular :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*