Malaysia cukup dikenali dengan kepelbagaian kaum serta budaya yang menjadi kebanggaan serta kekuatan rakyatnya untuk sentiasa bersatu padu dalam suasana aman harmoni.
Selain itu, sifat hormat menghormati terhadap kepercayaan agama satu sama lain juga boleh mengeratkan hubungan sesama insan.
Begitulah seperti kisah seorang wartawan TV3 bernama Kumaran Rajamoney yang tidak pernah melepaskan peluang untuk berpuasa di bulan Ramadan sejak 20 tahun lalu ini.
Mula berpuasa di bulan Ramadan sejak usia 16 tahun
Memetik temubual bersama Getaran, amalan berpuasa di bulan Ramadan sudah menjadi satu kebiasaan baginya.
Dia juga akan berasa janggal jika tidak melakukannya atas sebab tertentu seperti jatuh saklt.
Bagaimanapun, Kumaran berkata bulan Ramadan tahun ini memberi sedikit kelainan buatnya kerana ia jatuh pada tarikh hari lahirnya iaitu pada 13 April lalu.
Bercerita sedikit tentang latar belakang dirinya, lelaki berketurunan India itu mendedahkan sudah mula berpuasa sejak umur 16 tahun.
“Saya mula puasa sejak usia 16 tahun sewaktu sedang bekerja secara sambilan di sebuah butik pengantin. Waktu itu, majikan saya sememangnya menyediakan sarapan dan makan tengah hari buat semua pekerja.
“Tiba bulan puasa, majikan saya itu menyediakan juadah berbuka pula kepada kakitangan yang rata-ratanya Melayu. Bermula dari situ saya mula belajar dan berjaya puasa selama seminggu.” ujarnya.
Cuba tingkatkan hari berpuasa setiap tahun
Sejak hari itu, Kumaran berusaha untuk meningkatkan jumlah hari berpuasa sehinggalah berjaya berpuasa penuh sewaktu zaman bujang dari tahun 2005 hingga 2008.
Berkongsi pengalamannya berpuasa, waktu itu dia tinggal bersama rakan serumah berbangsa Melayu.
Setiap Ramadan, mereka akan mengejutnya untuk sahur dan mengajaknya berbuka bersama-sama.
“Kini apabila sudah berkerjaya dan berkeluarga, kadang-kadang saya terpaksa ponteng puasa kerana terdapat kenduri saudara-mara dan sebagainya. Tetapi jika tiada aral, saya tetap akan berpuasa dan tahun lalu, saya berpuasa selama 28 hari.” katanya lagi.
Ibu terima baik hasrat menunaikan puasa
Tambah ayah kepada seorang cahaya mata perempuan itu, ibunya juga pernah berpuasa di bulan Ramadan sewaktu bekerja di sebuah kilang dahulu.
Malah, ibunya tidak pernah menghalang tindakannya kerana wanita itu juga kerap berpuasa mengikut tuntutan agama mereka.
“Cuma isteri, S. Kanjana, 36, yang merasa pelik ketika kami mula-mula berkahwin pada 2014 dulu. Namun akhirnya, dia faham akan apa yang saya lakukan malah turut membeli kurma untuk saya berbuka puasa.” luahnya bangga.
Kumaran juga mendedahkan pernah diminta oleh individu tertentu untuk membantu membelikan makanan buat mereka yang tidak berpuasa.
Namun dia menolak permintaan tersebut kerana disifatkan sebagai tidak manis untuk dilakukan.
Sumber: Getaran (Rafisqi Radhi), Instagram Kumaran Rajamoney
Leave a Reply