KUALA NERUS, 11 Julai (Bernama) — Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini yang meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat pendarahan dalam kepala dikatakan sempat merangkak ke bilik tidur ibu bapanya untuk meminta tolong agar dihantar ke hospital.
Bapanya Mohd Rizaini Ghazali, 51, berkata kehilangan anak kedua daripada lima beradik itu amat mengejutkan kerana arwah tidak mempunyai sebarang penyakit.
“Cuma beberapa hari kebelakangan ini arwah ada mengadu sakit kepala… kira-kira pukul 5 pagi semalam abang ngah (panggilan untuk Muhammad Adham Hazim) merangkak ke bilik saya dan isteri (Ros Fazilah Salleh, 46).
“Abang ngah mengadu kepalanya terlalu sakit dan meminta kami membawanya ke hospital. Kami terpaksa meminta pertolongan jiran untuk mengangkat abang ngah ke kereta,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya Kampung Bukit Berangan, Tepoh di sini hari ini.
Muhammad Adham Hazim, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang disahkan meninggal dunia pada jam 10.52 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Mohd Rizaini berkata doktor memaklumkan bahawa hasil imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) terhadap Muhammad Adham Hazim menunjukkan dua urat pada bahagian belakang dan atas kepalanya putus hingga berlaku pendarahan.
Katanya, arwah sebelum ini gemar tidur lewat malam untuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji bagi menghadapi peperiksaan akhir dua minggu lagi.
” Abang ngah seorang yang suka belajar dan setiap hari beliau akan membahagikan masa belajar serta mengendalikan perniagaan atas talian yang dilakukan secara sambilan,” katanya.
Jenazah Muhammad Adham Hazim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Berangan, Tepoh pada jam 11 pagi tadi.
Sumber: BERNAMA
Leave a Reply