PONTIAN – Remaja yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang menangkap udang bersama bapanya ditemui mati lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Benut, di sini petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abdul Jalil, berkata, mayat Mohd. Akmal Jamaluddin, 17, ditemui pada pukul 4.07 petang.
Jelasnya, mayat mangsa dijumpai kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh oleh penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Mayat mangsa telah ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan dipercayai tersangkut dibawah tunggul kayu.
“Jenazah mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Pontian bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika ditemui dihubungi hari ini.
Menceritakan detik kejadian, bapa mangsa, Jamaluddin Jamil, 58, berkata, mereka dua beranak turun menangkap ikan di Sungai Pinggan di sini dan bertolak dari Jeti Nelayan Tampok Laut kira-kira pukul 9 pagi.
Arwah merupakan bongsu daripada lima adik beradik, empat lelaki dan seorang perempuan dan hanya sempat bersekolah sehingga tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Benut.
“Sebelum ini dia tidak pernah ikut saya turun ke laut, tetapi hari ini dia beria-ria nak ikut pergi tangkap udang, saya reda mungkin ini sudah takdirnya dia mahu pergi,” ujarnya.
Salam takziah diucapkan buat seluruh keluarga dan rakan kenalan arwah. Semoga tabah menghadapi dugaan ini. Alfatihah..
Sumber kosmo
Leave a Reply